Keluargaku, Syurgaku - Sembang Harmoni Siri-15 di MAJODI

PLENTONG: Dialog antara agama masih lagi perlu dipergiat di Malaysia. Kemajmukan dan perpaduan rakyat Malaysia diuji tatkala berdepan dengan pelbagai suasana negatif isu sosio-politik yang membabitkan agama.

Oleh itu, Hidayah Centre dengan kerjasama Keuskupan Melaka-Johor dan Pusat Komuniti Bahai Gelang Patah telah bersama berganding bahu menganjurkan “Sembang Harmoni Siri-15” yang bertemakan “Keluargaku, Syurgaku.” Program dialog antara agama ini telah diadakan di Pusat Keuskupan Melaka-Johor (MAJODI Centre) pada 24 Februari 2017 bermula pada jam 7:30pm sehingga 10:00pm.

Seramai 78 orang telah hadir memeriahkan suasana majlis. Hadirin yang hadir terdiri daripada umat Muslim, Kristian, Hindu dan Bahai.

Panelis yang terlibat dalam sesi dialog tersebut adalah Syeikh Imran Angullia, seorang pendakwah bebas dari Singapura yang berkepakaran dalam bidang fiqh, tasawwuf, dakwah, belia dan dialog antara agama; diikuti oleh Reverend Fr Edward Rayappan, paderi paroki Katedral Hati Kudus, Johor Bahru serta merangkap Pengarah Pelayanan Keuskupan ekumenisme dan dialog antara agama; Puan Stancylyn Tani merupakan salah satu penggerak Pusat Komuniti Bahai Gelang Patah.

Program ini turut dimudah bicara oleh Calvin Ohsey, felo penyelidik bagi Pelayanan Keuskupan ekumenisme dan dialog antara agama sebagai moderator. Program ini turut dihoskan oleh Bernard Wong dan Hafizah Bt Mohd Jaron sebagai pengacara.

Bermula dengan pendaftaran, diikuti dengan tayangan video, sesi dialog dimulakan dengan para panelis memperkenalkan asas-asas kepercayaan agama mereka masing-masing. Kemudian, untuk pusingan kedua setiap panelis ditanyakan tentang apakah peranan agama dalam membentuk “keluargaku syurgaku”. Pusingan ketiga pula merupakan sesi soal-jawab dimana para hadirin yang hadir berkesempatan untuk bertanya apa-apa soalan kepada panelis berkaitan dengan tema.

Isu-isu seperti penceraian, perkahwinan poligami, sebab paderi membujang, hubungan antara lelaki dan wanita, pentingnya anak-anak taat kepada ibu bapa, ibu bapa sebagai model, perkahwinan sejenis dan perkahwinan antara agama menarik perhatian para hadirin sambil diundang gurauan dari para panelis dan gelak ketawa para hadirin dalam dialog santai.

Selesai sesi dialog, Dr. Nor Ain Binti Husein selaku penganjur mewakili Hidayah Centre Johor menyampaikan cenderamata kepada para panelis dan juga moderator. Sebelum bersurai, jamuan ringan disediakan untuk menambahkan lagi ukhuwah antara para hadirin.
Pihak MAJODI ingin berterima kasih kepada Hidayah Centre Johor atas penganjuran acara ini. Mudah-mudahan akan ada lebih banyak lagi program sebegini diadakan pada masa akan datang.

Dilaporkan oleh,
Calvin Ohsey